Skip to main content

esei: negeri bersih, rakyat sihat

Hadis baginda Rasulullah s.a.w. bermaksud, amat jelas kepada kita semua. Ia secara langsung menekankan tentang peri pentingnya kebersihan itu dalam kehidupan seorang muslim dengan meletakannya sebagai sebahagian daripada imannya. (riwayat Ahmad, Muslim, al-Tirmidhi dan Ibn Majah)

Potongan hadis di atas jelas menggambarkan bahawa agama Islam amat menekankan aspek kebersihan. Malah, semua agama di dunia ini juga amat menekankan aspek kebersihan dalam kehidupan beragama. Ini jelas menunjukkan bahawa kebersihan amat penting dalam kehidupan seharian kerana kebersihan merupakan pemangkin kepada kesihatan manusia. Bertunjangkan kepada perkara tersebut, langkah sederap telah diambil oleh pihak Kerajaan Negeri Terengganu bagi memastikan semua rakyat di negeri bertuah ini sihat disamping persekitarannya yang bersih. Negeri Bersih Rakyat Sihat. Menyelusuri bait kata “Negeri Bersih, Rakyat Sihat” pelbagai perspektif mahupun lontaran idea dapat kita berikan. Hasrat murni pihak kerjaan negeri dibawah lembayung kepimpinan insan berkaliber, Dato’ Seri Ahmad bin Said dalam menjadikan negeri Terengganu sebuah ‘Negeri dalam Taman’ wajar diberikan pujian serta sokongan padu. Hasrat murni kerajaan tersebut merupakan satu perlaburan yang akhirnya akan memberi pulangan faedah kepada masyarakat sendiri. Sebelum kita berbicara panjang lebar serta merungkai mutiara yang tersurat mahupun yang tersirat mengenai wahana keramat kerajaan negeri ini, satu persoalan ingin dilontarkan agar segala yang kusut akan terlerai, segala yang bercelaru akan terungkai. Persoalannya, adakah kita benar-benar memahami serta menghayati slogan ‘Negeri Bersih Rakyat Sihat’ itu? Satu persoalan yang patut kita renung kembali dan berfikiran luas seluas saujana bagi memastikan visi serta misi murni kerajaan tersebut menjadi satu realiti.


Negeri bersih rakyatnya sihat
Terengganu makmur membawa berkat
Satu nawaitu satu hasrat
Satu tujuan satu matlamat


Perkara pertama yang menjadi faktor dominan dalam merealisasikan hasrat murni kerajaan adalah kesedaran masyarakat dalam menggerakkan usaha kearah negeri bersih. Peranan masyarakat amatlah besar dalam menjayakan aspirasi kerajaan kerana masyarakat merupakan faktor dominan yang menjadi tunjang kepada pihak kerajaan. Jika ingin dianalogikan, masyarakat merupakan tiang-tiang ataupun cerucuk menara kerajaan yang sentiasa menyokong serta mendukung segala hasrat serta harapan kerajaan. Jika tiada kerjasama serta sokongan yang padu daripada umum, mungkin menara yang dibina berlandaskan misi kemajuan akan tersungkur dan tumbang menyembah bumi. Sebenarnya, jika ingin dianalisis serta dibedah siasat, amalan kebersihan ini wajar bermula dari rumah masing-masing. Setiap penduduk atau anak jati negeri ini harus memainkan peranan dengan memastikan persekitaran rumah masing- masing dalam keadaan bersih. Walaupun ianya nampak kecil namun implikasinya amatlah besar kepada negeri ini. Sekiranya semua orang menjalankan tanggungjawab mereka, sudah tentu negeri Terengganu akan manjadi negeri terbersih di tanah air. Di samping itu pula, di peringkat akar umbi, pemimpin masyarakat wajar menghidupkan budaya gotong royong yang sekian lama menjadi nadi kepada masyarakat Malaysia. Melalui budaya gotong-royong ini, persekitaran kampung ataupun perumahan mahupun persint akan bertambah bersih dan indah. Sebenarnya, amalan gotong-royong ini sedikit sebanyak meringankan bebanan kita untuk menjaga kebersihan, kata orang berat sama dipikiul, ringan sama dijinjing. Disamping itu, aktiviti permuafakatan ini mampu mengeratkan hubungan antara individu selari dengan gagasan yang dibawa oleh YAB Perdana Menteri, gagasan 1Malaysia. Natijahnya, amalan gotong royong ini menjadi satu medium mahupun pentas kepada kita dalam merealisasikan negeri bersih, rakyat sihat.
Indikator kedua yang mampu merealisasikan hasrat murni kerajaan tersebut adalah peranan yang harus dimainkan oleh pihak kerajaan. Kita patut bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu kerana tidak memandang enteng terhadap isu kebersihan. Hal ini kerana kerajaan negeri memperuntukkan lebih kurang RM 40 juta setiap tahun bagi memastikan negeri Terengganu dalam keadaan yang cukup bersih dan indah. Pelaburan yang diusahakan oleh pihak kerajaan ini wajar diperkemaskan lagi dengan satu gerak kerja yang proaktif serta bernas. Peruntukan tersebut haruslah digunakan semaksima yang mungkin dalam mengerakkan usaha kearah negeri bersih seperti mengadakan pertandingan kebersihan diperingkat akar umbi, penyediaan kemudahan atau prasarana kebersihan dan sebagainya. Antara kemudahan yang wajar dititik beratkan oleh pihak kerajaan adalah penyediaan tong sampah, landskap yang indah serta penyediaan tandas yang berkualiti tinggi. Langkah awal yang diambil ini sedikit sebanyak mampu mengelakkan masalah kekotoran menjadi pekung yang lama-kelamaan menjadi barah yang tidak mampu diubati lagi. Hal ini bertepatan dengan peribahasa melayu, sediakan payung sebelum hujan. Prasarana yang dibangunkan ini mampu mengurangkan masalah kebersihan yang seringkali menggugat pandangan serta perspektif masyarakat luar terhadap negeri kita ini. Oleh itu, pihak kerajaan wajar melakukan gerak kerja yang proaktif dengan penyediaan segala kelengkapan kebersihan agar segala yang dihajati terlaksana, negeri bersih rakyat sihat.
‘Jom Bersih!’ merupakan salah satu kempen yang pernah diusahakan oleh pihak kerajaan. Kempen-kempen ini harus diperhebatkan lagi serta dimantapkan agar segala motif dan objektif sampai ke peringkat akar umbi. Segala promosi dalam media massa haruslah digerakkan dengan lebih agresif kerana segala maklumat yang ingin disampaikan mesti menepati sasarannya. Hal ini adalah perlu kerana dalam memastikan segala perancangan kerajaan mampu diterima dan dihayati oleh rakyat jelata. Sebagai contoh, kerajaan negeri boleh mengambil langkah sederap dengan mempromosikan kebersihan dalam media elektronik mahupun akhbar arus perdana. Selain itu, penguatkuasaan undang-undang  harus menjadi satu aspek yang tidak boleh dipandang sebelah mata. Sejak dari ketamadunan masyarakat dahulu lagi, undang-undang merupakan perkara pokok yang menjadikan sesebuah bangsa itu bertamadun. Lihat sahaja ketamadunan masyarakat negara matahari terbit atau ‘Negara Samurai’ yang berjaya mewujudkan satu kondisi negara yang amat bersih. Hal ini kerana, disiplin yang ada pada setiap anak watannya disulamkan pula dengan penguatkuasaan yang tegas telah berjaya menatijahkan sebuah negara yang mahsyur dengan persekitarannya yang amat bersih. Bukti sudah terpampar dihadapan mata. Pihak berwajib sewajarnya menjalankan serta menggerakkan undang-undang yang ada bagi menjamin persekitaran negeri ini dalam keadaan yang amat memuaskan. Amanah yang dipikul usah dijalankan sekadar melepaskan batok di tangga sahaja kerana peraturan kebersihan yang diwujudkan adalah untuk membentuk masyarakat yang berdisiplin serta berketerampilan bagi menjamin tahap kebersihan di negeri ini berada pada tahap yang optimum. Justeru itu, gerakan kempen secara proaktif dan juga penguatkuasaan undang-undang yang berkesan mampu mewujudkan kondisi negeri Terengganu yang bersih serta sekaligus menjadikan rakyat di negeri ini sihat sejahtera.
Kata orang melentur buluh biarlah dari rebungnya. Aspek pendidikan juga merupakan salah satu modus operandi yang menjadi penggerak kepada wawasan kerajaan dalam melihat negeri ini dalam keadaan bersih dan rakyatnya sihat. Pendidikan kebersihan dan kesihatan wajar diterapkan dari peringkat rebungya lagi. Pendekatan ini harus disemai kepada para pelajar sejak dibangku sekolah dan langkah kerajaan dalam melaksanakan pertandingan kebersihan atau pertandingan 3K antara sekolah di negeri ini wajar mendapat pujian umum. Hal ini berpatutan dengan aspirasi kerajaan untuk menerapkan nilai kebersihan dan kesihatan ini dalam kalangan pelajar. Pihak sekolah juga harus memberikan sokongan padu serta jitu dalam menggalas aspirasi kerajaan tersebut. Guru merupakan pembentuk generasi akan datang yang mementingkan aspek kebersihan dan kesihatan dalam kehidupannya. Selain itu, arkitek utama dalam pembentukan nilai pendidikan kebersihan terhadap anak watan pasca merdeka ini ialah ibu bapa. Kata orang anak-anak merupakan sehelai kain putih yang suci dimana ibu bapalah yang bertanggungjawab dalam mencorakkannya serta menghiaskannya. Pendidikan awal kanak-kanak amat penting dan berupaya membentuk jati diri anak-anak yang menekankan aspek cinta terhadap kebersihan dan peka terhadap kesihatan dalam setiap inci kehidupan mereka kelak. Kesimpulannya, pendidikan awal kanak-kanak mengenai kebersihan dan kesihatan wajar diambil peduli sepenuhnya agar negeri Terengganu bakal melahirkan rakyat yang sihat natijah daripada negeri yang bersih.
Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Peribahasa itu mampu diterjemahkan sekiranya pihak swasta atau badan bukan kerajaan NGO memainkan peranan yang sama besar dalam memastikan kebersihan negeri terjamin dan kesihatan rakyat dalam keadaan baik. Peranan atau sumbangan pihak NGO amat dialu-alukan serta amat dinantikan kerana pihak ini mampu menjadi pelengkap kepada usaha kerajaan ini. Kopi tanpa gula pahit rasanya, baju tanpa benang tidak akan menjadi. Itulah analoginya peranan NGO yang amat besar sebagai penambah perisa terhadap setiap hidangan gagasan ataupun wawasan yang diwara-warakan oleh pihak kerajaan. Pihak terbabit ini mungkin boleh mengadakan ceramah kesedaran, mahupun tajaan peralatan kebersihan  atau program khidmat masyarakat. Segala usaha ini dijanggka mampu melonjakkan lagi tahap kebersihan di negara ini. Kerjasama dengan Kementerian Kesihatan juga wajar diperkemaskan lagi agar objektif wawasan ini digagaskan akan terlaksana. Peranan kementerian dalam memberikan kempen kesedaran mahupun rawatan percuma serta pemeriksaan kebersihan terhadap premis perniagaan dan rumah-rumah mampu mengurangkan kadar peasakit di hospital yang berpunca daripada masalah kesihatan. Sudah terang lagi bersuluh, bahawa kerjasama yang padu daripada pelbagai pihak dan sentiasa bergerak seiringan seia sekata, senada sesuara, selangkah sejiwa dalam memastikan visi ‘Negeri Bersih Rakyat Sihat’ terlaksana adalah amat penting.
Ayuh, anjakan paradigma seluas saujana. Kita berganjak pula kearah penjuru kesan sekiranya motto keramat ‘Negeri Bersih Rakyat Sihat’ tersebut mencapai matlamatnya. Sekiranya sesebuah negara itu bersih, sudah tentu masyarakatnya akan hidup dalam keadaan sihat dan aman. Dalam melangkah kedalam era melinium serba moden ini, kos untuk mendapat rawatan telah meningkat berlipat kali ganda. Oleh itu, penjagaan kesihat adalah amat perlu kerana zaman kemelesetan ekonomi ini amat memerlukan wang bagi membiayai kos perubatan yang mungkin akan mencecah jutaan ringgit. Tambahan lagi, baru-baru ini, kita digemparkan dengan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri yang menyatakan peningkatan kes denggi di negeri ini. Jika dilakukan bedah siasat terhadap kes tersebut, puncanya adalah disebabkan persekitaran rumah yang kotor dan sekaligus memberi peluang kepada nyamuk aedes untuk membiak. Sekiranya telah berlaku kehilangan nyawa adakah baru ingin kita sibuk membersihkan halaman rumah atau sebagainya? Sudah terhantuk baru terngadah. Sepatutnya pendapat ‘cegah sebelum parah’ harus dipandang serius oleh segenap lapisan masyarakat bagi mengelakkan nasi menjadi bubur.
Ironinya, menghayati konsep kebersihan ini adalah tanggungjawab kita semua tidak kira muda ataupun tua, kecil ataupun besar semuanya memainkan peranan masing-masing. Masyarakat sebagai pemacu utama kepada matlamat murni ini wajar menggerakkan usaha kearah landasan membentuk serta melahirkan negeri yang bersih serta rakyat yang sihat. Disamping itu, peranan kerajaan dalam mempebanyakkan lagi prasarana dan kemudahan bagi kegunaan umum mampu merealisasikan harapan tersebut. Selain itu, pengiklanan atau promosi yang agresif serta penguatkuasaan undang-undang yang berkesan juga menatijahkan satu hasil yang cukup membanggakan kita semua. Melalui pendidikan kebersihan sejak setahun jagung mampu mendidik serta melahirkan masyarakat bertamadun dan mementingkan aspek kebersihan. Hal ini diserikan lagi dengan kerjasama yang padu daripada agensi-agensi luar serta NGO yang sedikit sebanyak membantu kerajaan melaksanakan wawasan tersebut. Kesemua bahan perisa diatas jika digaul dengan doa dan kesedaran akan menghasilkan satu adunan yang cukup baik bagi melihat negeri Terengganu sebuah negeri yang bersih dan indah serta rakyatnya sihat dan senyum sokmo. “Negeri Bersih, Rakyat Sihat”.

Marilah kita sama muafakat,
Sama bersatu membawa berkat,
Menghayati slogan penuh hikmat,
Negeri bersih rakyatnya sihat.

Sebagai rakyat negeri tercinta,
Marilah kita menyalakan cita,
Bersama kita gembleng tenaga,
Memacu wawasan Terengganu sejahtera.




jom like fan page FB aku! : 
mashilife.blogspot.com

Comments

  1. syukran kathir ats anta punyer pos ni,alhamdulillah anta meleraikan kekusutan ana untuk pidato...semoga sgala kerja anta dipermudahkn ALLAH...ameen doakan kejayaan ana untuk pidato ahad ni...:) terima kasih banyak3....

    ReplyDelete
  2. alhamdulillah.. semoga Allah memberi kekuata kpd anda... sy doakan kjyn anda... nanti bgtau result yep...

    ReplyDelete
  3. alhamdulillah..karangan ini memberi ilham kat ana utk buat karangan utk peperiksaan....syukran ya akhi

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah , krangan ini bnyk mmbntu ana untuk pidato isnin depan . trima ksih atas post yg bgitu bgus pngisian dlm krngn ni . :)

    ReplyDelete

Post a Comment

tinggalkan pesanan

Popular posts from this blog

teks syarahan: kemantapan akidah melahirkan modal insan cemerlang

Bismillahirrahmanirrahim… ( Selawat ) Ribuan terima kasih saudara/saudari pengerusi majlis. Barisan panel hakim yang sentiasa tegak berpaksikan kebenaran, Serta muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian. Assalamualaikum wrb
Kemantapan akidah melahirkan modal insan cemerlang, wahana hebat, tajuk syarahan saya pada hari ini. Sebelum kata demi kata disusun rapi, sebelum ayat demi ayat dilontarkan, izinkan saya melakukan sedikit pendefinisian tajuk ideologi saya ini. Kemantapan boleh diistilahkan sebagai keadaan yang mantap atau stabil. Manakala akidah beerti kepercayaan dan keyakinan yang betul serta sahih yang bertapak di dasar hati tentang Allah dan Rasul. Seterusnya istilah melahirkan boleh ditafsir sebagai mengadakan atau mewujudkan. Frasa modal insan membawa erti modal yang ada pada seseorang insan, seperti ilmu pengetahuan, dan kekuatan mental, fizikal serta rohani. manakala Cemerlang pula menurut kamus dewan membawa maksud menyerlah atau menonjol. Konklusinya, kemantapan akida…

Travelog Musafir, Turki : Sultan Muhammad Al Fateh, ikon untuk pemuda

Assalamualaikum wrh.
Bagaimana si 'Iman' kita hari ini? Semoga ianya terus ampuh dan utuh, insha Allah.


Untuk entry kali ni, aku ingin kongsikan pengalaman menjejakkan kaki ke makam salah seorang hamba Allah yang pernah disebut dalam hadis Nabi SAW. Beliau tidak pernah bertentang mata dengan Rasulullah namun  Rasulullah menyebutnya dalam satu hadis.

Sabda Rasulullah SAW ketika menggali parit dalam peperangan Khandaq, "...Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera..." (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Hebatkan beliau? Siapa beliau ini?

Beliau merupakan Sultan Mehmet bin Sultan Murat atau lebih sinonim dengan gelaran "al-Fateh".
Beliau perupakan seorang rijal (pemuda) yang sangat hebat kerana pada usia 21 tahun beliau telah berjaya menawan Kota Kontantinopel (kini Istabul) dan membentuk kerajaan islam. Hebat. Makam beliau terletak di Masjid Fateh, Istanbul.

Tetapi apakah …